Rabu, 29 September 2010

MELAYU DELI DAN MELAYU DI THAILAND TENGAH

MELAYU DELI DAN MELAYU DI THAILAND TENGAH

oleh Djazlam Zainal pada pada 30hb September 2010 pukul 7.16 pagi
Melayu sangat rapat dengan penduduk di Tanah Melayu. Hingga Melayu di luar lingkungan tersebut sering tersisih dari sebutan Melayu. Mereka terus menjurus kepada daerah atau pun negari misalnya orang Aceh, orang Palembang, orang Deli dan sebagainya. Tetapi sebenarnya Melayu amat rapat dengan Deli dan Melayu Siam ( Thailand ) Saya belum mahu menyentuh mengenai Melayu Riau, Melayu Singapura, Melayu Brunei dan yang lain-lain dalam naskah ini.

Melayu Deli adalah orang Melayu yang menempati Deli, di Sumatera Timur, Indonesia. Dikenali juga sebagai Melayu Pesisir Sumatera Timur. Dinamakan Melayu Deli disebabkan tempat itu bernama Deli iaitu sebuah daerah yang terletak di antara Aceh dan Asahan. Dipercayai bahawa asal-usul mereka daripada keturunan Muhamad Derikan, anak raja Islam dari Hindustan, Deli Akbar. Dikatakan kapal baginda telah terhempas dipukul taufan di pantai Pasai, Aceh pada tahun 1580. Sebagai musafir di rantau orang, baginda melalui berbagai ranjau kehidupan sebelum menyesuaikan dirinya dan akhirnya dapat memperisterikan puteri Sultan Aceh. Dengan kedudukan sebagai menantu Sultan Aceh, baginda bergelar Panglima Lebai Hitam. Gelaran tersebut sesuai dengan kepahlawanan baginda serta sifat tawaduknya. Hitam pula merujuk kepada warna kulitnya. Itulah dipercayai keturunan Melayu Deli. Baginda dikurniakan anak lelaki bernama Gojah Pahlawan. Gojah pahlawan amat setia dengan kerajaan Aceh. Bagindalah yang membuat pengawasan bagi pengamanan beberapa wilayah di bawah kekuasaan Aceh yang bergolak. Akhirnya baginda diberi wilayah pemerintahannya sendiri untuk baginda. Ia dinamakan Deli mengambil nama keturunan ayahandanya Deli Akbar atau Panglima Deli.

Deli terus mengembang dari semasa ke semasa. Majoriti penduduk Melayu juga bertambah disamping penduduk dari kaum Cina, Arab, Eropa dan Asia Timur. Melayu Deli mengamalkan adat istiadat masyarakat Melayu yang beragama Islam, berbudaya, beradat, bertertib dan berilmu. Sistem kepercayaan orang Deli ialah Sunnah Waljamaah mazhab Syafie. Di hari-hari kebesaran Islam seperti Idulfitri dan Iduladha, kaum lelaki Deli memakai baju teluk belanga atau cekak musang dan berkopiah serta wanitanya berbaju kurung, bertudung dan bersanggul. Berkepakaran juga dalam kraftangan seperti membuat tikar, raga, lekar, sumpit dan janur serta arif dengan nafiri, seruling, rebab, biola dan sebagainya. Nah! itukan semuanya milik bersama Melayu di semenanjung Tanah Melayu yang sama dipunyai di Deli, Aceh, Palembang dan kawasan-kawasan lain. Sesungguhnya Melayu itu amat besar lingkung dan wilayahnya.

Sementara Melayu di Thailand ( Siam ) kedapatan di tengah Thai ( dalam kontaks ini tidak menyebut Melayu di selatan Thai yang sinonim dengan Melayu di Kelantan, Malaysia ) iaitu di Ayuthia, Bangkok, Thonburi dan beberapa kawasan sekitar. Walaupun asalnya Melayu, namun generasi muda mereka tidak lagi mampu berbahasa Melayu. Malah mereka dikenali sebagai komuniti Muslim Thai. Menurut catatan sejarah, pada abad ke 17, di Ayuthia ( ibu negara Thai ketika itu ) majoriti penduduknya adalah orang Melayu. Mereka adalah pedagang, diplomat atau pegawai istana. Ketika itu banyaklah kisah panji Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Thai. Pada tahun 1686, terdapat pemberontakan oleh orang Melayu Makasar yang mahu menabalkan raja Islam. Ia berakhir dengan tumpah darah dan banyak jiwa terkorban. Pada tahun 1767, terjadi serangan oleh orang Burma ( Myammar ) di Ayuthia. Namun pencerobohan itu dapat ditumpaskan pada tahun 1785. Pada tahun 1791, pemberontakan terhadap raja Thai ditumpaskan, Patani diserang orang raja Thai dan orang Melayu dijadikan tawanan. Banyak siri perlawanan orang Melayu terhadap kerajaan Thai dari dahulu hingga sekarang.

Kini orang Melayu di tengah Thailand telah menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran. Namun masih dapat dilihat lelaki Melayu memakai kain pelekat, manakala wanitanya memakai kain batik sarung terutama pada hari-hari perayaan dan hari cuti seumpamanya Jumaat. Selain berkain pelekat, mereka memakai kopiah. Pada hari perayaan seperti Idulfitri dan Iduladha mereka menghidangkan ketupat ( tupa ) bersama sup ekor lembu atau ayam. Hanya generasi tua yang masih mengamalkan hal tersebut serta bahasa Melayu dielek Patani/Kelantan. Generasi muda semakin jauh dari akar Melayu. Namun mereka masih dikenali perwatakan Melayunya daripada segi rupa dan amalan kehidupan seharian yang berteraskan Islam. Selagi mereka Islam, Melayu masih dapat dipertahankan biar dalam skala yang paling nihil. Huallah 'alam Bisawab...