Ahad, 22 Februari 2009

Bahasa Rao Di Nogori Sembilan

Bahasa Rao Di Nogori Sembilan

Walaupun sudah beberapa kali datang kerumah Pak Shawal, namun hari rabu itu saya di telepon oleh beliau cukup lama. Berkali-kali beliau mengatakan dalam telepon itu “sekondakhati bukanlah generasi pertama yang datang ke tanah Melayu”. Menurut pengusaha berjaya keturunan Rao Koto Rajo asal Tapah itu, “jauh sebelum sekondakhati, telah ramai orang Rao yang berhijrah ke tanah Melayu”. Pengaruh orang Rao menurutnya telah sampai ke nogori sembilan. Orang mandahiling yang ada di Perak menurutnya semua menggunakan bahasa Rao, pengaruh bahasa Rao juga terdapat dalam bahasa Kelantan dan sebagainya.
Menurut beliau, suku yang mempengaruhi adalah suku yang kuat dan kokoh, sehingga orang lain terpengaruh dan ingin menjadi bagian darinya. Sejarah mencatatkan bagaimana Barat dan Eropah menjadi ke Árab-araban dan mengikut style Arab dizaman keemasan Islam dahulu dan sekarang dunia menjadi ke Barat-baratan yang mengikut gaya Barat kerana saat ini adalah zaman keagungan Barat yang mengalahkan dunia lain. Pak Shawal melanjutkan, “cubo dongar ge lagu nogori sombilen, apo kono eh jang”...
Sebagai seorang akademisi yang terikat dan berpegang teguh pada prinsip dan data-data ilmiyah, saya tidak mahu menerima kenyataan itu begitu sahaja tanpa soal selidik terlebih dahulu. Hari sabtu saya pergi ke Maydin masjid India membeli dan memborong semua koleksi CD Ally Noor & Mastura. Saya langsung “jatuh cinta” mendengar lagu-lagu itu. Di samping kelakar, cerita dalam lagu hampir sama dengan kisah saya. Seolah lagu-lagu itu menceritakan nasib saya yang ditinggal kahwin oleh seorang kekasih setelah empat tahun lebih kami berkawan baik. Seperti cerita itu, saya juga telah jumpa dan mendapatkan persetujuan orang tuanya. Tetapi taqdir menentukan lain yang membuat saya ridha dan tawakkal menerima taqdir dari_Nya dan menjadi “bujang lapuk” hingga ke hari ini.
Mendengar lagu-lagu negeri Sembilan yang dinyanyikan oleh Ally Noor & Mastura memang menyeronokkan. Tetapi tanpa disadari ada sesuatu yang lain dalam lagu yang terkenal dan menggelitik dengan lagu apo kono eh jang itu. Pernah tak kita menyedari bahawa di dalam lagu-lagu itu terdapat banyak sekali unsur-unsur bahasa Rao. Penulis pernah belajar di Tapanuli selama tujuh tahun dan belajar di Minangkabau selama empat tahun. Bahasa yang dilagukan oleh kedua artis nogori sembilan itu bukanlah bahasa minang murni, dan bukan pula bahasa mandahiling, tetapi terdapat unsur-unsure bahasa Rao yang banyak di dalamnya.
Pertanyaan selanjutnya adalah kenapa bahasa nogori sombilan dipengaruhi oleh bahasa Rao? Pernahkah orang Rao maju dan `berkuasa` dinegeri sembilan? Siapakah dan tahun berapa generasi pertama asal Rao datang ke Negeri Sembilan dan masih adakah keluarga Rao yang menetap di nogori sembilan saat ini?. Mungkinkah kerana Raja nogori sembilan saat ini adalah keturunan Minang Bukit Tinggi, membuat orang Rao menghilangkan identitinya sebagai orang Rao? (sebuah pertanyaan yang pastinya tidak akan mampu dijawab oleh artikel yang singkat ini)
Di nogori sembilan terdapat kuburan Tuanku Tambusai yang berasal dari Riau yang bersempadan dan berjiran dengan Rao. Tuanku Tambusai yang juga sebagai pahlawan nasional Indonesia ini, dulunya pernah belajar agama dan berjuang di Rao. Tuanku Tambusai melarikan diri ketanah Melayu kerana tidak mahu tunduk dengan kehendak penjajah Belanda yang sudah menaklukkan Rao ketika itu (Wan Mohd. Shaghir Abdullah) Kemungkinan Tuanku Tambusai membawa pengikut orang-orang Rao datang ke Tanah Melayu juga adalah sesuatu yang masuk akal. Ini kerana sejarah mengenal perjuangan tiga serangkai iaitu; Tuanku Imam Bonjol, Tuanku Tambusai dan Tuanku Rao yang sezaman dan memiliki ikatan yang rapat.
Buyuang adalah panggilan sayang kepada anak lelaki. Jang adalah singkatan ujang yang berasal dari kalimat bujang yang bermakna hansem (gagah) adalah panggilan manja dan sanjungan kepada anak lelaki di Rao. Di sini penulis hanya akan menuliskan sebahagian kecil kadungan bahasa Rao yang terdapat dalam nyanyian nogori sembilan Ally Noor & Mastura tersebut, iaitu;
Bahasa Rao/Lagu Bahasa Minang Bahasa Rao/lagu Bahasa Minang
Mano Ma Porang Parang
Poi Pai Baden Badan
Kobou Kabau Tompek Tampek
Gulei Gulai Koreh Kareh
Sobolango Sabalango Kobun Kabun
Monuang Manuang Tobang Tabang
Ompuak Untuak Tolontang Talantang
Sonang Sanang Tontu Tontu
Do Nyo Pojom Pajam
Domom Damam Omak Amak
Copek Capek Tompek Tampek
Morano Marano Poniang Paniang
Baden Badan Jowobnyo Jawabnyo
Ongah Uda Solemo Salemo
Podiah Padiah Tompah Tampah
Jangen Jan Bolakang Balakang
Ondak Nyio Monggigik Manggigik
Togah Tagah Monangih Manangih
Sonang Sanang Monyobuik Manyabuik
Konang Kanang Jowobnyo Jawabnyo
Omak Amak Disobuik Disabuik
Ontahlah Antahlah Apo layi A layi
Mujuar Untuang Bobuih Babuih
Obang Azan Konyang Kanyang
Menurut pak Shawal, orang Rao telah datang ke tanah Melayu bermula dari abad ke enam belas lagi. Namun seperti biasa, belum ada data-data tertulis yang mengatakan demikian. Ini juga kerana budaya tulis baca belum terkenal ketika itu. Tetapi orang yang datang selepasnya akan menjadikan orang yang pertama kali hijrah itu sebagai tepatan tempat singgah.
Penghijrahan orang Rao ke tanah Melayu jauh sebelum adanya negara Indonesia yang hanya berdiri pada 17 Ogos 1945 dan jauh sebelum adanya kerajaan Malaysia yang hanya berdiri semenjak 31 Ogos 1957. Diwaktu itu Nusantara tidak dibatasi oleh sempadan dan batasan, bahkan penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain dalam wilayah Nusantara biasanya di alu-alukan dan disambut bagaikan menyambut sang pahlawan. Ini kerana setiap negeri ketika itu memerlukan orang ramai untuk membuka lahan-lahan pertanian yang baru untuk menukar hutan belantara menjadi perkebunan. Morodah segala macam bahaya untuk mencari sumber kehidupan. Ini juga kerana yang hijrah dan yang menerima penghijrahan itu memiliki identiti yang sama. Kesamaan dari segi bentuk tubuh, warna kulit, budaya, bahasa, agama dan berbagai-bagai kesamaan lainnya membuat mereka merasa bersaudara antara satu dengan lainnya. Belum ada mengenal sistem paspor, Visa dan Viskal ketika itu.
Seperti yang diceritakan oleh Pak Shawal, Selayang umpamanya dibuka oleh orang selayang Rao, Pudu Raya pula diambil dari nama orang Rao yang bergelar pudu dan ibunya yang bernama Raya. Pudu adalah bahasa Rao yang bererti idiot. Adalah menjadi kebiasaan orang Rao untuk membuat panggilan yang rendah sebagai gurauan kepada rakan-rakannya. Saya juga pernah mendapat alamat email tungkik = air telinga dari keturunan Rao di sini. Mungkin kebiasaan ini jugalah yang membuat orang Rao menjadi low profile sampai saat ini. Apa yang saya temui, keturunan Rao memiliki otak yang cerdas dan ramai yang berjaya serta hebat-hebat belaka, tetapi tetap sahaja rendah diri (low profile). Bab ini mungkin perlu diskusi pakar lanjut lagi tentunya.
Tulisan ini jauh dari apa yang dikatakan sempurna. Diharapkan selepas ini akan ada anak-anak keturunan Rao dan mereka yang peduli, membuat kajian tentang “Pengaruh Bahasa Rao Dalam Bahasa Nogori Sembilan” melalui latihan ilmiyah, thesis atau disertasi lainnya diberbagai universiti.
Wallahu a`lam, Kuala Lumpur, 21/02/09,
Afriadi Sanusi
PhD cand. Islamic Political Science, University of Malaya
HP. 0122955829/ Email; adirao76@gmail.com

Tiada ulasan: