Rabu, 16 September 2009
Kita, Melayu Rao sebenarnya serumpun
Kita, Melayu Rao sebenarnya serumpun
Sinar Harian - 17 Sep 2009
Wajah bangga terpancar pada 2,000 masyarakat keturunan Rao yang datang dari seluruh negara berkumpul di Dewan Auditorium, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Per
ak, semasa warisan termasuk kebudayaan, kesenian, makanan, ekonomi dan kehidupan sosial masyarakat Rao diseminarkan.
Memang banyak perkara menarik yang boleh dipetik daripada Seminar Melayu Rao Malaysia pada penghujung bulan Julai lalu yang bertemakan ‘Memahami Jiwa Raga Menyuntik Penyatuan Ummah Melayu Islam’. Ini kerana seminar ini berjaya membongkar sejarah salah satu etnik Melayu Malaysia iaitu Melayu Rao berkaitan asal usul keturunan, loghat dan sikap serta sumbangan positif mereka kepada bangsa dan negara Malaysia.
Tun Dr Ahmad Sarji Abdul Hamid, bekas Ketua Setiausaha Negara yang juga salah seorang Melayu keturunan Rao, ketika memberikan ucaptama dalam seminar tersebut bertajuk ’Mengenang Kembali Sejarah Silam Rao’, bercerita tentang pengalaman beliau melihat budaya ‘Bajojak’ atau pantang tanah yang merupakan amalan khas orang Rao.
Beliau memberi penghargaan khusus kepada Persatuan Jalinan Rao Malaysia Malaysia (JARO) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menganjurkan seminar tersebut.
Menurutnya, ramai pencetus idea perjuangan kemerdekaan lahir di UPSI; malah salah seorang tokoh tersebut, Allahyarham Buyung Adil adalah seorang anak Rao yang juga pernah mengajar di institusi pengajian tinggi itu. Rao, nama salah satu daerah di Sumatera Barat, Indonesia, adalah antara suku bangsa Melayu yang berjaya di Malaysia.
Menurut Jaro jumlahnya kini dianggarkan seramai 150 ,000 jiwa. Ramai tokoh negara berdarah Rao sama ada tokoh politik, pentadbir, cendekiawan, ahli akademik, ahli perniagaan, pegawai tentera, ahli sukan, dan tokoh agama sehingga terdapat satu kertas kerja kerja khusus disusun dan dibentangkan oleh pensyarah UPSI, Dr Talib Samat membincangkan ’Sumbangan Tokoh-Tokoh Rao Terpilih dalam Tamadun Bangsa Melayu’.
Penulis mengimbas kembali pengalaman menghadiri Seminar Melayu Rao Malaysia ini mengungkapkan bukti betapa sebahagian besar rakyat Malaysia berasa bangga dengan sejarah tanah leluhur mereka. Mereka bukan sahaja merasakan hal tersebut bahagian dalam kehidupan mereka, tetapi juga berharap kebanggaan tersebut dapat diwariskan kepada anak cucu mereka.
Etnik Rao adalah satu di antara etnik Melayu di Malaysia selain pelbagai etnik lainnya yang terdiri daripada Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Mandailing, Acheh, Boyan (Bawean) dan lain-lainnya.
Penghijrahan
Penghijrahan masyarakat Nusantara ke Tanah Melayu sebenarnya telah berlaku sejak abad ke-5 Masihi lagi. Tetapi penghijrahan secara besar-besaran dan tersusun bermula semenjak abad ke-16, 17 dan 18. Ketika itu belum ada negara Malaysia dan Indonesia, sebab Malaysia Merdeka pada 31 Ogos 1957.
Manakala Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945. Keadaan zaman itu sangat berbeza dengan apa yang ada sekarang. Para pendatang kebanyakannya membuka penempatan baru yang belum diterokai dan belum berpenghuni. Mereka membuka hutan-hutan dan meredah denai.
Sejarah juga mencatatkan bahawa masyarakat Nusantara yang hijrah ke tanah Melayu menjadi pengasas perkampungan baru dan sebagai peneroka awal beberapa tempat di Tanah Melayu. Usaha yang mereka lakukan tentu cukup berat kerana perjalanan dari Kuala Lumpur ke Klang sahaja pada masa itu memakan masa selama enam hari.
Menurut Prof Dr HM Bukhari Lubis, pensyarah UPSI yang bercerita tentang sejarah penghijrahan masyarakat Nusantara ke Tanah Melayu, pada waktu itu Nusantara tidak dibatasi sempadan. Bahkan penghijrahan dari satu ke tempat lain dalam wilayah Nusantara biasanya dialu-alukan dan disambut bagaikan menyambut seorang pahlawan. Hal ini kerana setiap negeri memerlukan ramai penduduk untuk meramaikan negeri dan menjaga keselamatan negeri.
Prof Asmah Haji Omar dalam buku beliau, Sama Serumpun, terbitan UPSI menukilkan pandangan Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, penghijrahan orang dari Sumatera ke Tanah Melayu telah berlaku zaman berzaman dan jauh sebelum kedatangan Barat menjajah tanah Melayu. Hal ini bererti berbeza dengan penghijrahan kaum China dan India ke tanah Melayu yang dilakukan atas keinginan dan keperluan penjajah.
Penjajah ketika itu memerlukan kaum China sebagai pedagang dan kaum India sebagai pekerja kebun. Penghijrahan masyarakat Nusantara adalah penghijrahan semula jadi kerana adanya persamaan sejarah, antropologi, linguistik, antara budaya masyarakat Nusantara dengan budaya setempat.
Masyarakat rumpun Melayu selain faktor didikan agama Islam yang mengajar mereka untuk berhijrah, juga memiliki adat kebiasaan merantau untuk mempertikatkan imej, taraf sosial dan ekonomi keluarga.
Mewariskan budaya
Sewaktu penulis masih kecil, kami sekeluarga sering mendengar kisah daripada anggota keluarga tentang penghijrahan nenek moyang dari Minangkabau, Sumatera Barat ke Malaysia. Menurut ibu penulis, pada zaman dahulu orang biasa sahaja memberikan tanahnya untuk orang yang baru datang ke tempatnya untuk membuka lahan pertanian dan perumahan.
Siapa yang rajin dan kuat, nanti anak cucu mereka akan senang lenang. Hal ini kerana tanah yang diberikan tiada batasan atau had tertentu. Sekuat yang termampu, seseorang boleh menukar hutan belantara menjadi penempatan dan pertanian seluas-luasnya. Begitulah kisah awalnya tentang komuniti masyarakat Minangkabau di Sungai Cincin, Gombak dan di beberapa kawasan di pinggiran Kuala Lumpur dan sekitar Selangor yang masih wujud hingga hari ini.
Walaupun berlaku penghijrahan daripda segi fizikal, tetapi ada sesuatu yang ingin dipertahankan oleh masyarakat pendatang terutamanya sejarah masa lalu, budaya, bahasa, agama sehingga mereka tetap berasa bersaudara dengan komuniti mereka walaupun berada jauh di perantauan.
Kami sekeluarga masih menggunakan bahasa Minang apabila berkumpul dengan keluarga, seperti sebahagian masyarakat yang masih menggunakan bahasa Jawa, Bugis, atau Banjar, Boyan, Acheh, Rao untuk pertuturan dalam keluarga.
Penulis masih ingat, antara adat dan budaya yang ketara dipertahankan adalah berkaitan majlis perkahwinan. Masyarakat Minang di Gombak bukan sahaja mempertahankan sebahagian besar budaya perkahwinan ala Minang, malah dalam keadaan tertentu mereka akan membawa budaya dari tempat asalnya seperti rebab, randai, salung, tari piring dan sebagainya. Malah pada majlis keramaian tersebut, adalah satu kebiasaan iaitu pihak tuan rumah mengedarkan borang sumbangan untuk surau atau madrasah di Minangkabau, Sumatera Barat.
Apabila ditanya rasionalnya, di kalangan orang tua yang dikenali sebagai tokoh ninik mamak akan mengatakan agar generasi muda sentiasa ada pertalian dan mencintai budaya asal, tidak lupa dengan tanah leluhur di Sumatera.
Didikan agar rasa bangga dengan tanah leluhur ini berjaya ditanamkan bukan hanya pada masyarakat awam. Malah, sesetengah tokoh negara juga mempunyainya.
Misalnya, ada Menteri Kanan dalam Kabinet Malaysia sekarang yang membangun rumah kediaman bercirikan rumah adat Minangkabau sebagai manifestasi rasa bangga dengan budaya Minang yang diwarisi daripada nenek moyang. Juga ada Menteri Kabinet yang menjaga keselamatan negara, apabila bercakap beliau tidak segan menggunakan istilah-istilah bahasa Jawa kerana itu menurutnya adalah bahasa ibunya di rumah. Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa waktu lalu menerima penghormatan daripada kesultanan Bugis, Kerajaan Bone, sebagai kesinambungan rasa penghormatan dan bangga dengan tanah leluhur.
Tetapi apabila membaca beberapa berita akhir-akhir ini, terutama berkaitan isu sekatan ’Sweeping’ atau ‘sapu bersih’ orang Malaysia di Jakarta, isu buluh runcing sukarelawan untuk ganyang Malaysia, terasa perih di hati. Sungguh, terasa sukar untuk menanamkan dan mewariskan rasa bangga terhadap budaya dan tanah leluhur pada anak-anak hari ini.
Di hati mereka tanah leluhur ibu bapa mereka di Rao, Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Acheh, Mandailing, Boyan, mulai berasa asing disebabkan iisu perbezaan kecil yang dipaparkan media yang seharusnya boleh diselesaikan di meja rundingan melalui semangat persaudaraan serumpun.
Malah ada di antaranya yang bertanya, salahkan mereka dilahirkan sebagai orang Rao, Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Acheh, Mandailing, Boyan di Malaysia dan mempertahankan bahasa dan budaya tersebut di atas rasa hormat mereka terhadap ibu dan ayah yang melahirkan dan mewariskan bahasa dan budaya leluhur itu?
Dan sebagai warisan bersama, sungguh mereka tidak merasakan telah mencuri bahasa dan budaya tersebut!
* Penulis AHMAD YANI ABD MANAF ialah editor Majalah i terbitan Kumpulan Karangkraf.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan