Rabu, 3 November 2010

Pawang Ana tokoh penglipur lara?


Pawang Ana tokoh penglipur lara?
Jumaat, 2010 Oktober 29



Oleh Ani Awang (Mega, Utusan Malaysia 29.10.10)
SIAPA Pawang Ana? Satu kajian mengenai ketokohan penglipur lara, Allahyarham Pawang Ana perlu dijalankan bagi memastikan generasi muda mengenali tokoh tersohor di Perak.
Ia bertujuan mengenang kembali Pawang Ana yang suatu masa dulu juga dikenali sebagai seorang dukun dan pendekar.
Generasi muda masa kini sudah tentu tidak mengetahui kebolehan penutur cerita rakyat yang dulu dituturkan dari mulut ke mulut.
Menurut catatan bekas Pegawai Inggeris di Tanah Melayu, R.O. Winstedt, Pawang Ana telah menuturkan lima cerita penglipur lara yang menjadi karya agung di negara ini.
Antara karya itu ialah Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Kelima-lima cerita Pawang Ana itu telah menjadi karya agung telah dibukukan oleh Winstedt.
Menurut Hj Zabidin Hj Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dalam kertas kerjanya bertajuk "Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional", Pawang Ana berasal dari Rao, Sumatera Barat. Dia berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng Perak dan menetap di Temoh sekitar tahun 1850-an.
Pawang Ana pernah menamakan Kampung Batu Masjid, Temoh setelah kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada 1895.
Justeru, bagi mengenang kembali Pawang Ana, Karyawan Pk, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan Perak dan Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) telah mengadakan Seminar Pawang Ana di Auditorium JKKN di Ipoh baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika menutup seminar itu meminta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat kajian mengenai Pawang Ana bagi memastikan generasi muda mengetahui tokoh-tokoh sejarah sastera lisan dan sastera rakyat yang berjuang dalam pelbagai bidang yang menjadi aset warisan negeri.
Beliau berkata, kerajaan memberi sokongan jika ada pihak yang sanggup meneruskan kajian termasuk kajian terhadap ketokohan pawang dan kepahlawanan Pawang Ana.
"Banyak maklumat mengenai Pawang Ana diperoleh dari manuskrip yang tersimpan di London setelah penjajah menjajah negara ini.
"Pawang Ana terkenal sebagai penglipur lara yang menuturkan karya-karya agung sebagai sastera rakyat tinggi mutunya dan hidup sepanjang zaman," katanya.
Zainol Fadzi berkata, itu bertepatan dengan langkah kerajaan negeri yang bercadang membina sebuah Muzium Budaya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar raya seni.
Sementara itu, satu pameran bertajuk 'Pawang Ana dan Karyanya' turut dipamerkan di ruang legar Perbadanan Perpustakaan Awam di Ipoh sebagai bahan penting dalam membuktikan ketokohan Pawang Ana sebagai anak Perak yang berjasa.
Pameran tersebut juga mempamerkan biografi ringkas dan lakaran ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916 di London.
Lakaran wajah Pawang Ana (foto) pernah ditemui oleh mantan Karyawan Tamu Universiti Malaya (UM), Mohd. Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.
Pengarah JKKN Perak, Abdul Mutalib Abdul Rahman berkata, seminar itu merupakan usaha untuk mengetengahkan ketokohan Pawang Ana yang terkenal di Perak.
"Kita sedia membantu memastikan usaha memartabatkan tokoh-tokoh seni dikenali oleh generasi akan datang," katanya.

Tiada ulasan: