Rabu, 14 September 2011

SEJARAH BERMULANYA BERKENDURI DUA BELAH PIHAK DI MUKIM SEGA

SEJARAH BERMULANYA BERKENDURI DUA BELAH PIHAK DI MUKIM SEGA

Ada pun sesetengah perkara dilarang atas rakyat Pahang tatkala dahulu-dahulu iaitu pertama membuat bumbung rumah dengan cara bErbumbung lima. Kedua, membuat rumah beranjung. Ketiga, membuat rumah bertangga papan berpahat. Keempat membuat kenduri kahwin bersebelahan di antara pihak laki-laki dan pihak perempuan. Maka segala perkara yang tersebut itu tidak boleh diperbuat oleh rakyat Pahang kerana perkara-perkara tersebut khas bagi raja-raja sahaja. Sesiapa rakyat yang berbuat seperti itu nescaya akan dihukum atasnya dengan hukuman yang berat. Ada pun Hj. Salim anak Jeliha anak Tok Aki anak Tok De anak Itam Mas Pahang anak Tok Kaya Ibrahim waktu itu tinggal di Ajai; akan anaknya bernama Muhamad Sidik dihajat oleh Tok Keli, Penghulu Mukim Sega hendak dikahwinkan dengan orang Sega. Namun Muhamad Sidik berkehendak bernikah dengan Mas Da anak Tujuan Saka orang Temau. Hal ini dimaklum oleh Hj. Salim ayah Muhamad Sidik kepada Tok Keli. Akan Tok Keli tidak menghalang kerana Tujuan Saka itu orang terbilang dan beragama dari tanah seberang. Maka dipinang oleh Hj. Salim akan Mas De. Sewaktu hendak dibuat kenduri, dibincangkan adat berkenduri itu dengan Tok Keli. “ Tidakkah jadi salah kita Datok pada undang-undang Pahang membuat kenduri bersebelahan ini? “ Maka kata Tok Keli, “ Kalau dengan suruhan sahaya begitu, Tuan Haji buat sahajalah begitu. Tinggal lagi apa-apa hal sahaya akan bertanggungjawab.” Lalu dibuatlah kenduri di sebelah keluarga Hj. Salim. Demikian hal itu menjadi perkara pertama-tama berlaku dalam mukim Sega. Ada pun Hj. Salim itu ialah Tuan Kadi yang pertama dalam wilayah Raub. Dia juga adalah abang tiri kepada Tengku Abdul Samad yang kemudiannya beranakkan Tengku Kudin yang menjadi Penghulu Mukim Gali yang pertama.

Tiada ulasan: