Sabtu, 21 Februari 2009

Tunku Besar Seri Menanti baru dilantik esok

Tunku Besar Seri Menanti baru dilantik esok

KUALA PILAH: Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, putera sulung kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tengku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, akan dilantik sebagai Tunku Besar Seri Menanti yang kesembilan dalam satu istiadat di Istana Besar Seri Menanti di sini, esok.

Menurut kenyataan Istana Besar Seri Menanti, istiadat pelantikan ini diadakan untuk kali ketiga dalam tempoh 120 tahun di mana dua pemegang gelaran terdahulu iaitu Tuanku Muhriz dan Tunku Burhanuddin masing-masing menyandangnya selama 47 tahun dan 73 tahun.

Tunku Ali, 32, akan memegang gelaran yang disandang oleh ayahandanya sebelum baginda dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008.

Tunku Besar Seri Menanti adalah gelaran yang paling kanan di antara Putera Yang Empat.

Tiga gelaran yang lain ialah Tunku Laxamana, Tunku Muda Serting dan Tunku Panglima Besar yang disandang masing-masingnya oleh Tunku Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar.

Tugas-tugas Putera Yang Empat termasuk menyelia hal ehwal istana dan pegawai-pegawai istana dan sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Besar.

Di samping itu, Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa Tunku Besar Seri Menanti adalah ahli Dewan Keadilan dan Undang yang dianggotai oleh Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Istiadat penuh tradisi diraja ini akan diadakan dalam dua upacara di mana pada upacara yang pertama, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan membuatpengisytiharan dan berkenan menyerahkan watikah pelantikan dan sebilah keris yang diwarisi zaman berzaman.
Pasangan diraja kemudian akan berangkat meninggalkan dewan untuk istiadat kedua iaitu istiadat menghadap, di mana pegawai istana akan memberi penghormatan kepada Tunku Besar Seri Menanti yang baru atas pelantikan baginda.

Tunku Ali diputerakan pada 1977 di Hospital Universiti Kuala Lumpur.
Baginda mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan persekolahan menengahnya di Kolej Marlborough di Wiltshire, United Kingdom.

Baginda berkelulusan BA (Hons) dalam jurusan Sejarah, Sains Sosial dan Politik daripada Universiti Cambridge pada 1998.

Baginda memulakan kerjayanya di McKinsey & Company London dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat dengan McKinsey in Asia.

Pada 2004, Tunku Ali menyertai Khazanah Nasional Bhd dan kini menyandang jawatan Pengarah Pelaburan. - Bernama