Selasa, 14 April 2009

Tengku Aishah Rohani ditabal Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan


Tengku Aishah Rohani ditabal Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan

KUALA PILAH: Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, hari ini dilantik dan ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada satu istiadat diraja Negeri Sembilan yang diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini.

Selepas istiadat itu, Tengku Aishah Rohani akan memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Kali terakhir istiadat ini diadakan pada 19 Julai 1967 apabila Tunku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dilantik sebagai Tunku Ampuan Negeri Sembilan.
Sebelum itu, bonda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Durah Tunku Besar Burhanuddin ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Negeri Sembilan pada 14 April 1961.

Turut hadir pada istiadat hari ini ialah Putera Yang Empat dan Anak Raja Bergelar serta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Istiadat di Balairong Seri itu dimulakan pada jam 11.30 pagi dengan pelantikan Tengku Aishah Rohani sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan oleh Tuanku Muhriz sebelum baginda berangkat meninggalkan Balairong Seri bagi membolehkan istiadat pertabalan berlangsung.
Pengurniaan gelaran itu dilakukan dengan Tunku Muhriz memakaikan tiara pada Tengku Aishah Rohani dengan disusuli tembakan meriam lapan das.

Kemudian istiadat pertabalan pula bermula dengan upacara menghadap dan menjunjung duli oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Gemencheh dan Luak Air Kuning serta Tiang Balai masing-masing.

Luak Tanah Mengandung adalah di bawah naungan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan dilakukan oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung.
Selepas istiadat itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan berkenan berangkat meraikan bersama tetamu jemputan di majlis santapan tengah hari di Dewan Banquet Istana Besar Seri Menanti.

Penamaan Tengku Aishah Rohani sebagai calon Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan dibuat oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Inas, Luak Terachi dan Luak Jempol yang sudah bermesyuarat dengan Orang Empat Istana pada 21 Januari lalu.

Selepas mendapat kebulatan dan permuafakatan, mereka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan memohon perkenan baginda supaya permaisuri baginda yang dipilih itu dilantik dan ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tarikh hari ini dipilih sebagai hari istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan ini diadakan lebih awal daripada istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi membolehkan Tengku Aishah Rohani bersemayam bersama Tuanku Muhriz sewaktu pertabalan baginda secara rasmi yang dijangka Oktober depan.

Tengku Aishah Rohani, 57, diputerikan di Batu Gajah, Perak, adalah kerabat diraja Terengganu iaitu puteri kepada Almarhum Tengku Seri Utama Raja, Tengku Besar Mahmud ibni Sultan Zainal Abidin III dan Almarhum Tok Puan Zainun Meriam Su Mahmud.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan kemudian di Sekolah Convent, Taiping dan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Baginda pernah berkhidmat di sebuah bank di Kuala Lumpur dan di situ baginda diperkenalkan dengan Tuanku Muhriz dalam satu majlis keramaian.

Pertemuan manis itu dilanjutkan dengan ikatan pertunangan.

Tengku Aishah Rohani melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Muhriz pada 25 April 1974 dan dikurniakan tiga putera iaitu Tunku Ali Redhauddin, 32, Tunku Zain Al'Abidin, 27, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 25.

Di samping mengurus keluarga, Tengku Aishah Rohani turut meluangkan masa mengikuti program amal yang dianggotai baginda seperti Inner Wheel of Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur Speakers Club.

Dalam bidang yang lain, baginda pernah ke Amerika Syarikat untuk mengikuti dan mendalami kursus penjagaan kanak-kanak istimewa, khususnya dalam bidang perkembangan minda kanak-kanak yang dianjurkan 'Institutes for the Achievement of Human Potential' di Philadelphia, Pennsylvania.

Dengan pengetahuan yang mendalam dalam bidang ini, baginda sering memberi nasihat dan tunjuk ajar serta pertolongan kepada mereka yang memerlukan. - Bernama