Rabu, 10 Ogos 2011

RIWAYAT AWAL KAMPUNG KUALA ATOK





RIWAYAT AWAL KAMPUNG KUALA ATOK

Oleh:
Hasanuddin bin Md Isa







1. Pendahuluan
Saya menulis riwayat ini untuk menjadi ingat-ingatan kepada ahli keluarga saya yang menetap di dalam wilayah Kuala Atok dan juga kepada yang sudah berhijrah keluar dari kampong tercinta itu. Riwayat Kampung Kuala Atok merupakan riwayat cakap dengar yang saya peroleh semasa mendiami kampung tersebut 1961 hingga 1990. Selain itu terdapat catatan daripada beberapa teremba (catatan salasilah) yang menjadi rujukan.
Dalam menulis riwayat awal kampong Kuala Atok ini, saya merujuk pengkisahan yang diceritajab oleh bapa saya Al-Marhum Hj. Md Isa bin Omar bin Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap) sebelum kewafatannya pada 1981 yang lalu. Semasa peristiwa berjaga masjid pada tahun-tahun 1980-an juga disebabkan ada kegiatan membakar masjid di negeri Pahang, sempat juga saya mendengar akan hal bermulanya kehidupan di Padi Setempat dan Bukit Setugal daripada Imam Mohd Nor binti Hjj. Sara binti Hj. Sulaiman bin Kulah binti Nica binti To Aya bin Tok De binti Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim dan Abdullah bin Monek bin Tok Kembar bin Tok Amit bin Tok Pamat bin Tok Ibrahim bin Tok Lela bin Tok Yop bin Embong Pian bin Muhamad bin Tok Panglima Hang Tuah. Selain itu dapat juga saya menyemak cerita-cerita yang saya peroleh itu dalam pertemuan saya dengan Haji Abdul Rahman @ Pakwe gedompong binti Wah binti Ismail bin Hj. Mat Sidek binti Itam mas Pahang binti tok Kaya Ibrahim sekitar tahun 1987 di rumah di Kg. Tersan, Raub.

2. Asal datangnya penduduk
Lembahan Sungai Lipis bermula daripada Kaki Gunung Lipis di sempadan negeri Perak sehingga ke Kuala Sungai Lipis di pertemuannya dengan Sungai Jelai. Pada zaman pemerintahan Melaka 140M0 - 1511M, kawasan ini masih tiada penghuni. Penghijrahan orang-orang dari Melaka ke Pahang secara beransur-ansur telah menjadi penghuni kawasan-kawasan lembahan sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis.

3. Penerokaan Lembahan Sungai Lipis
Tidak dapat dipastikan setepatnya tarikh bila lembahan sungai Lipis mulai di diami. Namun begitu dalam Sejarah Negeri Pahang, Mukim Budu sudah dicatat sudah didiami sedemikian lama. Kawasan ini di bawah pengaruh Maharaja Perba Jelai yang mula bertapak pada 1567M. Dalam pentadbiran negeri Pahangm seorang penghulu bertaraf orang kaya berlapan dilantik mengetuai mukim ini. Dengan terbukanya kawasan Budu , secara beransur-ansur lembahan sungai Lipis mula diteroka sehingga terbangunnya Mukim Sega Lama. Di antara Mukim Budu dan Mukim Sega Lama ini mulalah penghijrah ini membuka kampung-kampung kecil untuk didiami.

i. Padi Setempat
Salah sebuah kampung yang dibuka di antara Mukim Budu dan Mukim Sega Lama ini ialah Padi Setempat. Lokasinya ialah di tepi tebing Sunggai Lipis di hulu sedikit dari lubuk yang dalam dipanggil ' Lubuk Benggali '. (Pengarang tidak pasti kenapa dipanggil lubuk benggali). Dari tebing Sungai Lipis menganjur ke tanah permatang terdapat lembahan pamah yang sesuai dibuat tanah paya dan tapak rumah kediaman.
Tidak dapat dipastikan orang pertama yang meneroka Padi Setempat. Namun begitu, pada tahun-tahun 1960 , terdapat beberapa rumah yang masih berada di sekitar kawasan tersebut. Antaranya dimiliki oleh Idris anak Doh anak Yong anak Khatib Ipeh anak Imam Long, rumah Jemilah anak Seoma anak Khatib Hijau anak Kumin anak Embong Saedah anak Mohd Amin anak Tok Malek, rumah Lebai Hasan anak Timah anak Hj. Derapor anak Imam Long.

Di kawasan Padi Setempat, penduduknya mengusahakan tanaman padi tahun untuk sumber makanan. Selain mencari binatang-binatang hutan dan sungai sebagai lauk pauk, mereka juga mengusahakan tanaman jagung di kaki bukit tanah paya mereka.

ii. Bukit Setugal
Oleh kerana belahan Sungai Lipis sentiasa dibanjiri air setiap kali tibanya musim tengkujuh, maka kawasan Padi Setempat akan digenangi air. Untuk itu perlu ada kawasan yang selamat untuk tempat tinggal sementara pada waktu banjir itu. Selain itu, usaha menambah rezeki tidaklah boleh bergantung kepada tanah paya semata-mata. Maka penduduk Padi Setempat bergotong-royong menebang pokok besar dan menebas semak samun hendak dibuat cherang bagi tujuan bercucuk tanam.
Memandangkan kawasan kaki paya hingga ke permatang bukit itu tidaklah terlalu luas, maka diusahakan kawasan itu secara beramai-ramai dengan menugal jagung. Setiap keluaga diperuntukkan setahil benih jagung. Dalam kerja berderau mengusahakan kebun jagung itu, terbitlah pakatan menamakan kawasan kebun mereka itu sebagai Bukit Setahil tugal atau Bukit Setugal.

iii. Pembukaan Kuala Atok, Bukit Atok dan Merang

Sekitar tahun 1800, penduduk di sekitaran Padi Setempat semakin ramai. Mahu tidak mahu perlu diteroka tanah hutan yang lebih luas untuk kediaman. Berlakulah pakatan untuk mengagihkan kawasan penempatan mengikut ahli kekeluargaan yang rapat.




a. Kampung Kuala Atok, Bukit Atok dan Kampung Sekolah

Oleh Imam Long bin Tok Sabudin, diajaknya anak-anaknya iaitu Hj. Derapor, Khatib Ipeh, Yat dan Dayang membuka jaluran pematang dari Bukit Setugal menuju ke air mudik. Kerja meneroka hutan itu berhenti di satu tempat disebut ' Kubang Sawa' (simpang empat kuala atok - dekat masjid baru)

Ada pun nama Kuala Atok itu diambil sempena sungai tempat mandi manda Imam Long bin Sabudin bin Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chandak binti Itam Mas Pahang bin Tok Kaya Ibrahim (Budu). Ada pun tanah paya di seberang Sungai Atok itu cantik juga untuk bertanam padi dan diminta oleh adik beliau bernama Tok Tehh bin Tok Sabudin untuk diteroka dan dijadikan kampong halaman. Diteroka oleh Tok Tehh dan anak-beranaknya dijadikan kampong halaman lalu dipanggil kawasan itu ' Bukit Atok'.

Setelah Kampung Bukit Atok itu didirikan, maka akan Tok Yat bin Imam Long ingin pula membuka kampong halaman di sebelah kampong Bukit Atok itu. Lalu diteroka pula kampong bersesuaian dengan keperluan anak beranaknya Setelah sekolah kebangsaan Kuala Atok didirikan pada tahun 1910, dikenali kawasan kampong itu sebagai
KAMPUNG SEKOLAH.

b. Kampung Merang
Dalam perkembangan seterusnya Kampung Kuala Atok ini, Tok Sitam bin Janai bin WanHusin (Tok Dahalek) bin Tun Salehuddin bin Rasa Muzafar bin Raja Ahmad bin Raja Zainal bin Raja Husin (Sultan Alaudin Ri'ayat Shah - Raja Melaka) membuka pula kawasan di hulu sebatang alor menuju ke kawasan bukit. Semasa kerja-kerja membuka penempatan itu terlalu banyak binatang ' Merang ' terdapat di kawasan sungai. Lalu sepakat mereka menamakan kawasan itu sebagai ' Kampong Merang.'

c. Kampung Paya Peranggan dan Kampung Olok Empang.

Berlakunya perang saudara di Selangor kira-kira pada tahun 1873 ramai penduduk di mukim Sega yang dipanggil berkhidmat menjadi panglima perang. Antara mereka ialah Tok Juan bin Imam Muhamad Keramat Budu Terap, Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad , Tok Keli bin Mohd bin Tok Aya bin Tok De . Tok Juan memimpin Sayap Kiri, Abdul Rahman memimpin Sayap kanan menuju ke Kuala Kubu dan Tok Keli bersama-sama Hj. Mohd Nor menuju ke Ulu Kelang.

Setelah tamat perang sekitar 1884 dan kalahlah pihak Raja Mahadi, maka baginda Sultan Ahmad menangguhkan pengunduran pulang pasukan Pahang di Kuala Kubu. Ini bertujuan supaya dapat dikutip cukai bagi membayar belanja perang. Mana-mana penduduk yang gagal membayar cukai dijadikan hamba kerahan kepada panglima perang untuk bekerja di Pahang.

Dalam hal ini, Tok Juan bin Imam Muhamad yang menjadi Ketua Sayap Kiri pasukan Pahang dianugerah 40 orang hamba. Hamba-hamba ini dikerah membuka kampong yang kemudiannya dikenali sebagai PAYA PERANGGAN.

Akan hal Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad, dia juga seperti bapanya membawa pulang hamba dan membuka pula kampong di kawasan tanah berselut di hulu (Kg. Sekolah) . Dibuatnya empang kecil untuk tujuan mengairi kawasan paya dan di hilir empang itu dibangunkan kampong halamannya. Dengan kerjasama hamba kerahan dan penduduk kampong Kuala Atok, dibina saliran parit dari olok empang menuju ke Bukit Atok. Satu lagi saliran ialah dari Gambut menuju paya peranggan. Setelah selesai kerja-kerja membina kampong itu, Tok Juan dan Tok Abdul Rahman membebaskan hamba kerahan itu. Pulanglah mereka semula ke Kuala Kubu dan ada juga hamba kerahan perempuan yang diambil oleh penduduk Kuala Atok sebagai isteri.


Melantik Ketua Kampung

Sehingga tahun 1888, sealam-alam Kuala Atok itu menjadi sangat luas. Apabila Tok keli memegang jawatan Pembesar Berlapan Mukim Sega, maka dikeluarkan arahan melantik ketua kampong Kuala Atok bagi memudahkan urusan berkerajaan di Pahang.

Maka akan penduduk Kuala Atok memandang hal ini juga penting. Untuk melantik seorang ketua perlu banyak perkara yang dipertimbangkan. Terlebih lagi sang ketua ini perlu sangat-sangat dipercayai oleh Penghulu Mukim Sega yang menjadi Penghulu Raja Pahang.

Maka pada waktu itu tidaklah ada tokoh yang rapat dengan Tok Keli dari segi kekeluargaan melainkan anak sepupu Tok Keli yang bernama Tok Abdul Rahman bin Tok Juan bin Imam Muhamad (Keramat Budu Terap) . Dalam jalur keturunan lain dapat dibaca sebagai Abdul Rahman binti Mastera binti Uji bin Ngah Janggut bin Tok Aya bin Tok De binti Itam Mas Pahang bin Tok Kaya Ibrahim (Budu ).

Setelah Tok Abdul Rahman ini meninggal dunia sekitar tahun 1920-an, maka sepakat pula penduduk Kuala Atok mengangkat tokoh kedua menjadi ketua kampong iaitu Bilal Ibrahim bin Yat bin Imam Long bin Sabudin bin Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chandak binti Itam Mas Pahang bin Tok Kaya Ibrahim (Budu). Dapat dibaca juga jalur keturunannya seperti berikut. Bilal Ibrahim bin Yat binti Imam Long binti Embong Saedah bin Tok Mohd Amin (Keramat Bukit Tersan) bin Abdul Malik Tok Malek bin Tok Mat Saleh bin Ngah Endek bin Mohd Ali Jaafar Sidek. Mohd Ali Jaafar Sidek bin Raja Muhamad baginda Demu binti Seri Dewi bin Tok Panglima Hang Tuah