Khamis, 7 Oktober 2010

Adat jejak tanah ditelan zaman

Adat jejak tanah ditelan zaman
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/10/07

JEJAK tanah atau adat memijak tanah adalah sebahagian daripada budaya bangsa Melayu yang merujuk kepada anak kecil yang baru pandai bertatih, dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang permulaan kehidupannya.

Upacara jejak tanah dijalankan secara berbeza dari satu tempat ke tempat lain, baik dari segi cara atau peralatan yang digunakan barangan yang digunakan, malahan kebiasaannya upacara itu akan disertakan dengan majlis ringkas kenduri doa selamat.

Menurut kepercayaan orang Melayu, jejak tanah dilakukan untuk meramal masa depan bayi berdasarkan alat yang diambil dalam satu dulang khas yang meletakkan bayi sebagai kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan sekiranya dia mengambil gunting.

Namun, sejak negara mengalami perubahan persekitaran dan masyarakat lebih terarah kepada kehidupan moden, upacara jejak tanah semakin terpinggir, malahan ada di kalangan kita yang tidak pernah mengetahui langsung berkenaan adat terbabit.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Hashim Awang, berkata pada kebiasaannya, kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara jejak tanah, dengan tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan.

“Upacara jejak tanah sangat mudah kerana bayi yang baru bertatih berusia tujuh bulan ke atas akan diletakkan ke tanah dan dibantu untuk berjalan antara tujuh ke lapan tapak. Mereka akan dilepaskan bagi melihat apa yang akan dicapai di dalam dulang iaitu sama ada gunting, al-Quran, pensil, makanan dan minuman.

“Pemilihan al-Quran membawa maksud bayi membesar sebagai budak yang baik dan beragama. Namun, sebenarnya itu adalah sekadar untuk membuka ruang komunikasi antara jiran dan keluarga yang hadir pada upacara itu, sekali gus mengeratkan ukhuwah antara mereka.

“Upacara jejak tanah ini dikatakan simbol kepada bayi kerana dalam acara itulah mereka pertama kali menjejakkan kaki ke tanah, selain pendedahan kepada kehidupan pertama kali berjalan di atas muka bumi ini,” katanya kepada Sastera, baru-baru ini.

Dr Hashim yakin bahawa upacara jejak tanah semakin terpinggir, ekoran kesibukan ibu bapa dalam tugas seharian, apatah lagi jika mereka memang tidak didedahkan dengan budaya itu, khususnya ibu bapa yang berasal dari bandar.

“Dalam budaya dan adat Melayu, unsur keagamaan pasti diterapkan iaitu diiringi kenduri dan bacaan doa selamat setiap kali diadakan acara. Hal ini, membuktikan bahawa walaupun adat dan budaya disanjung, namun agama tetap dijunjung,” katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sa’adiah Ma’alip, berkata beliau sendiri berpengalaman menyaksikan upacara jejak tanah yang dilakukan oleh ibunya untuk adik bongsu beliau lebih 30 tahun lalu.

“Pada acara itu, disediakan makanan yang diletakkan dalam dulang dan hanya diberikan kepada kanak-kanak sekolah rendah. Seorang alim atau imam akan dijemput untuk membacakan doa selamat dan menerangkan kepada semua yang hadir berkenaan acara itu.

“Adat ini selalunya dilaksanakan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak ke piring yang berisi dengan bubur merah dan bubur putih iaitu sejenis bubur yang dimasak daripada beras pulut dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu santan dan gula merah,” ujarnya.

Sa’adiah juga menyifatkan ada beberapa perkara dalam upacara jejak tanah itu yang tidak patut diteruskan seperti pemakaian kain kuning dan juga membawa bayi ke makam wali atau individu tertentu kerana dikhuatiri boleh membawa kepada syirik atau kurafat.

“Namun, sebenarnya ia bergantung kepada niat seseorang dan kini upacara jejak tanah itu semakin terhakis dan tidak diamalkan lagi kerana masyarakat sudah moden dan merasakan jejak tanah adalah satu amalan budaya yang remeh serta tidak perlu untuk diteruskan,” katanya.