Sabtu, 31 Disember 2011

MENCARI KETURUNAN MAT SILA BIN IMAM PERANG ADAM

MENCARI KETURUNAN MAT SILA BIN IMAM PERANG ADAM

Kepada sanak saudara yang tinggal di Mukim Semantan Hulu, Raub, Pahang yang tersua dengan artikel ini, mohon jasa baik saudara-saudara semua untuk memberikan maklumat berkaitan dengan keluarga Mat Sila bin Imam Perang Adam yang berkampung halaman di Semantan Hulu, Raub pada abad ke-19 lalu. 

PANGLIMA TOK PERAK (1683-1785)



PANGLIMA TOK PERAK (1683-1785)

PUTERA SUNGAI TARAB PERINTIS PEMBUKAAN RAUB DI ABAD KE18 –
Bahagian 1

Sekitar tahun 1725 Masehi, seorang bangsawan dari Luhak Tanah Datar, Minangkabau, tepatnya dari Sungai Tarab, Pagaruyung melangkahkan kakinya dalam rangka kelana beliau yang putus. Kelana yang tidak akan kembali lagi ke tanah tumpah darah keturunannya yang amat dicintainya itu. Bukan mudah untuk “bercerai kasih” dengan tanah-tanih yang subur di sekitar lerengan Gunung Merapi dan Gunung Singgalang pusaka nenek moyangnya itu. Di situlah padang permainannya sewaktu kecil, di situlah dia dibesarkan dan dididik dengan segala macam ilmu dunia serta akhirat secukupnya. Di situlah juga berkumpulnya seluruh kaum kerabat serta saudara-maranya yang termasyhur kebesarannya ke serata pelusuk kepulauan Nusantara, bahkan sampai ke benua Eropah sekalipun kerana dibawa oleh penjajah Belanda, Inggeris dan Portugis yang halobakan emas bermutu tinggi yang ditakdirkan Allah pencipta alam tertanam dengan banyaknya di perut bumi Minangkabau.
Nama kerat pusat anak bangsawan Pagaruyung ini ialah Raja Ahmad. Beliau salah seorang putera kepada raja di Sungai Tarab yang mana pada hakikatnya Raja Sungai Tarab ini masih berperaturan saudara “sepupu-sepapat” dengan Daulat Yang Dipertuan Raja Alam Pagaruyung itu sendiri (Raja Sungai Tarab yang dimaksudkan ialah Datuk Bandaro Putiah yang juga digelar Tuan Titah Sungai Tarab, seorang dari anggota Dewan Basa Ampek Balai Kerajaan Pagaruyung). Khabarnya, Raja Ahmad memiliki beberapa orang adik-beradik, dan saudara lelakinya yang tertua kemudiannya diangkat menjadi Tuan Titah Sungai Tarab yang baru selepas kemangkatan ayahandanya. Siapakah nama sebenar ayahanda kepada Raja Ahmad ini sebelum beliau memegang jawatan Tuan Titah Sungai Tarab tersebut tidaklah pula dikhabarkan oleh riwayat.
Situasi di Pagaruyung amat rumit semenjak dari mula Belanda bertapak di Padang pada tahun 1660 dengan bantuan Aru Palakka, petualang anak Raja Sopeng dari Sulawesi. Krisis politik dan berebut pengaruh kekuasaan sesama keluarga diraja Pagaruyung yang terpecah kepada Sungai Tarab dan Saruaso bagaikan tiada akan bertemu dengan penghujungnya. Kekalutan ini berlarutan hingga ke dekad-dekad awal abad ke-18 ketika zaman pemerintahan Daulat Yang Dipertuan Raja Bagagar Syah Alam @ Yamtuan Jombang @ Yamtuan Lembang Alam.
Bagaimanapun sebab sebenar anak bangsawan Kerajaan Pagaruyung dari Sungai Tarab ini berkelana tidaklah diketahui secara pasti. Ada yang mengatakan kerana beliau berkrisis dengan saudara-saudara kandungnya, ada yang beranggapan beliau merasa lelah dengan situasi politik dan percaturan kuasa pemerintahan yang bersimpang-siur di Pagaruyung dan ada pula yang merasakan langkah perantauan beliau itu langkah yang penuh isi. Langkah yang mengandungi visi dan misi yang tersendiri dalam mengembangkan payung keluarga besar Pagaruyung di luar skop Tanah Inti Minangkabau di Sumatera Barat itu sendiri!
Namun anggapan biarlah tinggal anggapan. Yang pastinya beliau berkelana tidak untuk menyebarkan kejahatan atau pun kesesatan di muka bumi kepulauan Melayu ini!
Sebelum berkelana, Raja Ahmad ini sudah pun beristerikan seorang puteri di Sungai Tarab dan beroleh beberapa orang zuriat di sana. Isteri dan anak-anaknya ditinggalkan dengan berat hati demi memenuhi seruan ghaib yang berkumandang di sanubarinya yang paling dalam. Sebagai teman, dibawanya seorang daripada “kemenakannya” (anak saudaranya) yang paling rapat dengannya bernama Raja Hitam kerana beliau juga berhasrat untuk merantau mencari tuah untung di bumi orang.
Melangkahlah Raja Ahmad dan Raja Hitam dengan membawa bersama beberapa orang pengikut setia yang sanggup sehidup semati dengan mereka meninggalkan Tanah Datar membelah Banjaran Bukit Barisan yang megah itu sebelum turun ke Rantau Siak yang mana Kerajaan Siak baru beberapa tahun terdahulu didirikan oleh Yang Dipertuan Raja Kecil Siak di Buantan. Dari sana mereka menuju ke laut lepas meredah ombak Selat Melaka menuju ke Semenanjung Emas atau lebih sinonim dengan namanya yang terkemudian, Semenanjung Tanah Melayu. Pada waktu itu, Raja Ahmad sudah pun berumur sekitar 42 tahun dan Raja Hitam di awal 20-an.
Setibanya di tanah semenanjung, tempat yang mula-mula dijejaki mereka ialah daerah Durian Sebatang dalam jajahan hilir Perak. Pada masa itu, Perak diperintah oleh Raja Radin ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansur bergelar Sultan Alauddin Mughayat Syah (Sultan Perak 1720-1728). Di bumi Perak inilah Raja Ahmad dan Raja Hitam mula-mula mencuba nasib dan tuah badan untuk menilai apakah mereka akan serasi hidup di sana atau pun tidak. Kebetulan pada waktu itu, perairan Perak sering diganggu oleh lanun-lanun dan bajak laut yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Malangnya tidak ada walau seorang pun dari kalangan pembesar mahu pun hulubalang Perak yang mampu menangani ancaman lanun-lanun terbabit.
Tidaklah diketahui bagaimana mula kisahnya, mungkin saja Raja Ahmad sendiri menawarkan diri kepada Sultan Perak atau para pembesarnya untuk membantu, tetapi yang pastinya Raja Ahmad dan Raja Hitam berserta para pengikut setia mereka telah berbakti kepada Kerajaan Perak dengan menewaskan kesemua lanun-lanun yang bermaharajalela tersebut berbekalkan ilmu persilatan dan kebatinan yang tinggi yang dibawa mereka semenjak dari Pagaruyung lagi. Sebagai balasan di atas jasa beliau itu, Raja Ahmad telah dikurniakan gelar kemuliaan “Tok Perak” oleh Orang Besar-Besar Perak walaupun tidak pernah diriwayatkan apakah beliau pernah diberi jajahan tertentu untuk diperintah sebagai orang besar di negeri Perak atau pun tidak.
Mulai saat itu, pudarlah nama batang tubuhnya yang asal iaitu Raja Ahmad lalu melekatlah panggilan Tok Perak sahaja dalam kalangan anak cucunya dan masyarakat sekeliling yang mengenalinya sehinggalah ke akhir hayatnya. Raja Hitam pula kemudiannya dikenali sebagai “Panglima Hitam” sahaja kerana mereka berdua beranak telah membuktikan kehandalan ilmu kepahlawanan mereka sebagai seorang panglima Melayu yang tulin.

PUTERA SUNGAI TARAB PERINTIS PEMBUKAAN RAUB DI ABAD KE-18 – Bahagian 2

Selama beberapa puluh tahun, Raja Ahmad atau Panglima Tok Perak bermastautin di bumi Perak dan beristerikan seorang perempuan dari Sungkai bernama Tok Nuri atau Tok Nuriah. Namun entah kerana apa gerangannya, Panglima Tok Perak kemudiannya memutuskan untuk memanjangkan lagi langkah kelananya meninggalkan bumi Perak dengan menyeberang Banjaran Titiwangsa menuju ke rantau Hulu Pahang yang diketahuinya telah pun diduduki oleh kelompok peneroka Minangkabau sejak 200 tahun sebelumnya.
Maka, sekitar tahun 1755 Masehi berpindahlah Panglima Tok Perak membawa isterinya serta beberapa orang anaknya yang sempat dilahirkan di Perak dengan diikuti juga oleh anak saudaranya, Raja Hitam menuju ke Hulu Pahang. Laluan yang diikuti mereka sama saja dengan laluan yang diikuti oleh orang-orang dagang dari Sumatera yang ingin ke Hulu Pahang sebelumnya mahupun di zaman selepas beliau iaitu menyusuri laluan Tapah ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu Sungai, Batu Talam (dalam daerah Raub sekarang). Pada masa itu, yang merajai Pahang ialah Bendahara Seri Maharaja Tun Abas (1722-1764) ibni Bendahara Paduka Raja @ Sultan Abdul Jalil Riayat Syah 4 (1699-1718).
Di Batu Talam, rombongan Panglima Tok Perak membuat penempatan sementara kerana beliau sedang meninjau pembesar Hulu Pahang manakah yang patut beliau temui bagi memohon keizinan untuk membuka kampung mengikut istiadat Melayu dahulukala. Setelah mengetahui “siapa dia siapa” di Hulu Pahang, Panglima Tok Perak telah pergi melakukan kunjungan hormat ke pusat pemerintahan Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad bin Wan Ismail yang terletak di Bukit Kota, Lipis (setentang Bukit Betong dan hanya dipisahkan oleh aliran Sungai Jelai) kerana Maharaja Perba Jelai adalah salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran di rantau Hulu Pahang yang sangat luas.
Selesai menghadap Maharaja Perba Jelai di Bukit Kota, barulah Panglima Tok Perak menghilir pula menuju ke Kampung Terap, Budu untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Tok Kaya Chendak, Orang Besar Berlapan Pahang bergelar Orang Kaya Setia Wangsa Lipis yang kedudukannya setingkat di bawah Maharaja Perba Jelai. Kampung Terap adalah perkampungan Melayu yang boleh dikatakan antara yang paling tua di Hulu Pahang dan telah pun wujud semenjak abad ke-16 lagi. Di sinilah Tok Kaya Chendak berkampung halaman sebelum pusat pemerintahan Tok Kaya Lipis ini dialihkan oleh pewaris seterusnya ke Penjom. Kampung Terap dalam meniti usianya sebagai kampung yang tua dan besar merupakan “kawah pelakuran pelbagai rumpun bangsa Melayu”, kerana penduduk awalnya dikatakan datang dari Kerajaan Melayu Melaka seawal tahun 1500 Masehi sebelum disambung pula oleh bangsawan Minangkabau pada penghujung abad yang sama dan berlarutan hingga abad ke-17 dan 18.
Menjelang abad ke-18, tatkala kuasa Bugis mulai mendominasi rantau alam Melayu, perbauran rumpun bangsa Melayu di Kampung Terap menjadi bertambah meriah dengan kedatangan sebilangan para bangsawan Bugis yang sesetengahnya bergelar “Daeng” iaitu predikat yang sama ertinya seperti “Tengku” atau “Raja” di Tanah Melayu.
Panglima Tok Perak kini telah pun mendapat keizinan dari kedua-dua pembesar Tanah Hulu Pahang untuk membuka kampung dan sawah ladang di mana-mana cabang anak Sungai Lipis yang masih belum ditanda oleh orang lain. Perhatiannya kini tertumpu ke arah kawasan Semantan Hulu dan sekitarnya yang masih padat dengan hutan rimba tetapi tanahnya yang subur menjanjikan suatu masa depan yang cerah bagi anak cucunya di kemudian hari. Tambahan pula pada masa yang sama terdapat juga kelompok keluarga Tok Kaya Chendak sendiri, atau lebih jelas lagi dari keturunan Tok Kaya Ibrahim yang juga sedang giat mencari tanah-tanah baru untuk dibuka (di sekitar Kampung Sega Tua yang kini telah sepi ditinggalkan orang) yang betul-betul bersempadan dengan kawasan yang menjadi sasaran Panglima Tok Perak tersebut. Kelompok keluarga Tok Kaya Ibrahim yang juga keluarga Tok Keli (Orang Besar 16 Pahang di Sega) ini kemudiannya berhasil membuka perkampungan baru di sempadan Sega-Semantan Hulu yang diberi nama Kampung Pasir Purun.
Di Semantan Hulu itulah Panglima Tok Perak, Raja Hitam dan lain-lainnya dengan berbekalkan beliung kapak menebang menebas hutan rimba yang subur menghijau di sepanjang aliran Sungai Lipis hinggalah berkembang melahirkan Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing (sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Di samping itu mereka juga mendapat tenaga tambahan dari sebilangan penduduk orang asli yang pada waktu itu agak ramai menghuni kawasan sekitarnya secara berpindah-randah. Di sini jugalah Panglima Tok Perak beroleh isterinya yang kedua bernama Tok Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap, Budu yang juga masih keturunan Datuk Baginda Demu dan Datuk Kaya Ibrahim Lipis. Bermula dari sinilah terjalinnya ikatan kekerabatan yang amat dekat lagi meluas dalam kalangan penduduk Hulu Pahang yang bertebaran di semua mukim dan kampung-kampung dalam daerah Raub dan Lipis bahkan merebak hingga ke Jerantut dan Temerloh melalui ikatan perkahwinan generasi terkemudian. Dari perkahwinan ini Panglima Tok Perak beroleh tiga orang anak iaitu Tok Pandak Lena, Tok Fatimah dan Kulop Mat Daham. Melalui perkahwinan pertamanya dengan Tok Nuriah dahulu, mereka beroleh enam orang anak (yang dapat dikesan) iaitu Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi.
Selama lebih kurang tiga dekad menetap di Perak, sedikit-sebanyak budaya tempatan di sana melekat juga pada diri Panglima Tok Perak dan ini dapat dilihat pada nama sebahagian anak-anaknya yang jelas berbau kePerakan seperti Kulop Mat Daham, Pandak Lena dan Anjang Mas Suka walaupun bukan semua dari kalangan anak-anaknya itu dilahirkan di Perak.
Selain daripada Tok Nuriah dan Tok Mikrah, Panglima Tok Perak juga mengahwini seorang perempuan di Pulau Manis, Pekan bernama Tok Safiah (beroleh seorang anak perempuan bernama Halimah) dan seorang perempuan di Bukit Segumpal, Chenor (beroleh seorang anak perempuan bernama Mas Kuntum). Ada seorang lagi anaknya di Kampung Sengkela bernama Tok Uban tetapi malangnya tidak disebutkan pula oleh riwayat apakah Tok Uban ini anak kepada Tok Nuriah, Tok Mikrah, atau pun Tok Safiah.
Keseluruhannya, anak-anak Panglima Tok Perak ini berjumlah 16 orang termasuklah beberapa nama yang tidak tersebut dalam catatan (yang diketahui hanyalah nama cucu atau pun cicit beliau sahaja).
Oleh anak cucu beliau di Pahang, diubah pula gelaran Panglima Tok Perak tersebut kepada “Tok Prak” sahaja sebagai penegasan bahawa beliau bukanlah anak Perak jati, tetapi keluarga raja pemerintah Sungai Tarab dalam Kerajaan Pagaruyung yang telah membuang gelaran asli keluarganya.
Setelah lebih kurang tiga puluh tahun mengerah tulang empat kerat membuka hutan rimba untuk dibuat kampung dan sawah ladang, pada tahun 1785 iaitu pada zaman pemerintahan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid (1770-1802) ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Abas, Panglima Tok Perak @ Raja Ahmad telah kembali ke rahmatullah dalam usia 102 tahun dan dikebumikan di perkuburan zaman yang kini dinamakan “Bukit Baru” yang terletak di belakang rumah allahyarham Tok Empat Mohamed bin Imam Kundor, Sengkela. Di sini jugalah tertanamnya jasad Tok Unus (menantu cucu beliau) yang datang dari Kampung Macang Gelap, Chenor, Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota Kerinci (juga menantu cucu beliau), Haji Abdul Manan Rawa yang berasal dari Lansek Kadap, Rao Mapattunggul, Pasaman, Raja Hitam @ Panglima Hitam dan ramai lagi orang-orang dagang yang tidak tersenarai namanya dalam catatan riwayat.
Seorang daripada anak Panglima Tok Perak, Tok Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas bertemu jodoh dengan perempuan dari Kampung Terap, Budu dan di Kampung Terap jugalah beliau berkampung halaman, berbakti sebagai imam masjid di sana sehingga ke zaman pemerintahan Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chendak. Beliau beroleh 5 orang anak dan cucu-cicitnya berkembang-biak dari Budu hingga ke Hulu Dong, Padang Tualang, Tanjung Besar, Mukim Dong dan Mukim Gali.
Menjelang abad ke-19 Masehi, berturut-turutlah rantau Hulu Pahang, terutamanya di Budu, Lipis melimpah hingga ke Semantan Hulu, Sengkela, Kampung Gesing, Kampung Dong dan Kampung Gali (Gali Hilir hingga ke Hulu Gali) didatangi oleh anak-anak raja serta kaum bangsawan dari Pagaruyung, Kampar dan Rao Mapattunggul kerana melarikan diri dari kemelut perjuangan menentang penjajah Belanda di Pulau Perca (Sumatera).
Melihat situasi yang unik ini, kita boleh saja beranggapan bahawa kedatangan para bangsawan dan anak-anak raja Pagaruyung serta Rao peringkat kemudian ini ibarat menyusul jejak yang telah ditinggalkan oleh Raja Ahmad @ Panglima Tok Perak sebelumnya, kerana pada hakikatnya mereka sama-sama berasal dari jalur keturunan yang satu, iaitu kaum keluarga raja-raja di Pagaruyung atau pun dari wilayah yang punya kaitan secara langsung dengan Pagaruyung. Bahkan mereka juga berasal dari rumpun bangsa yang satu, iaitu rumpun Melayu Minangkabau!