RIWAYAT PANGLIMA KANAN MEMBUKA KALUMPANG (1883)
Panglima Kanan adalah merupakan pengasas Kalumpang. Beliau berasal dari Kampung Kota Raja, Rao Mapat Tunggul Kecamatan Rao, Kabupaten Pasaman Sumatra Barat. Beliaulah orang yang bertanggungjawab membuka Kalumpang pada tahun 1883 atau sebelumnya. Nama sebenar beliau ialah Hj. Salam Bin Datuk Berkanun. Beliau diberi gelaran Panglima Kanan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor (Sultan Muhamad) di zamannya kerana beliau telah dapat membunuh Panglima Pahang semasa perang Pahang-Selangor di suatu ketika dan juga telah dapat mengamankan perompak lanun di Sabak Bernam. Beliau adalah adik ipar kepada penghulu tua Tg. Malim iaitu Tun Haji Mustapha Bin Raja Kamala yang membuka Tg. Malim atau Bernam pada masa itu. Panglima Kanan menjadi assistant Penghulu Bernam dimana Tun Haji Mustapha menjadi Penghulu. Kalumpang pada masa itu adalah di bawah pemerintahan Bernam.
Panglima Kanan mempunyai seorang isteri yang bernama Hjh.Rahmah bt Hj Siun. Beliau diriwayatkan juga bersama Nawi bin Raja Mulok (orang Rao Pahang) bersama-sama membuka Kalumpang (diriwayatkan oleh Allahyarham Haji Abdullah bin haji Salam - anak Panglima Kanan). Diriwayatkan bahawa Panglima Kanan dengan pengikut-pengikutnya berhijrah dari Bernam sampai ke sebuah pokok yang besarnya lain dari yang lain, dan berehat di situ dan diketahui pokok tersebut bernama pokok Kalumpang. Dari nama pokok tersebut dinamakan Kalumpang yang ada pada hari ini. Pokok tersebut berhampiran dengan pasar lama Kalumpang.
Diketahui pokok tersebut telah ditebang pada tahun 30-an. Panglima Kanan juga orang yang mula-mula mendirikan rumahnya iaitu di tapak pasar lama Kalumpang yang berdindingkan pelupoh dan beratapkan daun rumbia. Pada suatu ketika, rumah Panglima Kanan dijadikan rumah pasong dan rumah pasong hanya didirikan oleh pemerintah pada tahun 1888. Panglima Kanan juga yang bertanggungjawab membawa orang Cina dari Sekinchan dan daerah-daerah lain di negeri Selangor untuk melombong bijih timah di Kalumpang.
Dalam pada itu beliau juga pengasas Kg.Gumut dengan pengasas-pengasas yang lain dan beliau juga mempunyai dusun durian yang agak luas lebih kurang 12 ekar di Sejantung dan diibaratkan oleh orang gajah boleh mati kalau lalu disitu bila gugur buah duriannya yang bagitu banyak dan merimbun.
Panglima kanan juga telah sama-sama mempertahankan Bernam semasa perang Raub-Bernam dan perang Raub-Gumut bersama-sama Panglima Besar dan Panglima kiri Kalumnpang serta pengikut-pengikutnya. Kubu perang utama ialah kubu di Gumut iaitu kubu Panglima Besar yang terletak di kawasan stesyen keretapi Gumut. Dahsyat perang di Gumut itu dan anak isteri semuanya berkubu di Tg.Malim atau Bernam.
Akhirnya Panglima Kanan dan pengikut-pengikutnya hanya dapat mempertahankan Kg. Kubu iaitu kubu yang terakhir yang diketuai oleh Penghulu Tun Haji Mustapha di Bernam atau Tg.Malim dan mereka dapat menewaskan tentera Raub. Selepas peristiwa ini tiada lagi peperangan dengan Raub hinggalah ke hari ini. Semasa perang Inggris-Pahang, Panglima Kanan bersama pendekar Ulung Kalumpang iaitu Khatib Yunus membantu Mat Kilau menentang Inggeris akan tetapi mereka berundur setelah Inggeris dapat menakluki Pahang.
Diriwayatkan Panglima Kanan dengan pengikutnya memakan buah hutan untuk pengisi perut dalam peperangan itu di mana makanan sukar diperolehi.
Dalam perang saudara di Selangor, Panglima Kanan dan pengikut pengikutnya menjadi pengikut Syed Mashor yang membantu Raja Mahdi merebut takhta negeri Selangor melawan Sultan Abdul Samad tetapi tewas. Oleh hal yang demikian, Panglima Kanan ,Panglima Kiri dan Panglima Besar Kalumpang tidak dapat menjadi orang besar Selangor kerana mereka berpihak pada Raja Mahadi. Panglima Kanan meninggal dan dikebumikan di Sejantung. Pada suatu ketika kubur beliau dan kubur-kubur yang lain telah dialih dan dipindahkan ke suatu tempat yang bernama Kubah. Kubah itu berasal dari perkataan nama Gubah. Kubah itu adalah perkuburan lama Kalumpang yang masih ada pada hari ini.
Setelah Panglima Kanan meninggal dunia, seorang penghulu dikehendaki di Kalumpang. Anak-anak Panglima Kanan tidak mahu menggantikannya. Oleh itu, pemerintah Selangor telah menghantar seorang yang bernama Abdul Ghafar menjadi penghulu di Kalumpang menggantikan Panglima Kanan yang telah kembali ke rahmatullah. Abdul Ghafar adalah penghulu pertama Kalumpang yang berasal dari Batu Laut Selangor.
Adalah difahami setelah kematian Panglima Kanan, penghulu Kalumpang tidak lagi dilantik dari keturunan Kalumpang hinggalah ke hari ini.
Adalah diandaikan, jika diterima oleh anak-anak Panglima Kanan menjadi penghulu Kalumpang, mungkin turun-temurun hingga ke anak cucu cicitnya dan seterusnya dan mungkin juga pada anak Kalumpang jati yang lain menjadi penghulu yang ada pada hari ini.
Sumbangan oleh:
Dzulkifli Bin Datuk Haji Buyong
C-G-6, Pangsapuri Laksamana,
Jalan Laksamana, Bandar Baru Selayang,
68100 Batu Caves, Selangor.
H/P- 012 9725860
24/11/2007
Rujukan:
1. Allahyarham Haji Abdullah bin Hj.Salam(anak Panglima Kanan)
2. Allahyarhamah Hjh.Zabedah bte Hj. Salam(anak Panglima Kanan)
3. Allahyarhamah Hjh.Sabariah bte Md.Ali (cucu Panglima Kanan)
4. Allahyarhamah Hjh.Halimah bte Omar (cucu Panglima Kanan)
5. Buku Persatuan Sejarah Hulu Selangor (bahagian Kalumpang )
Karangan Allahyarham cikgu Ruslan bin Ibrahim, PJK
6. Arkib Negara/ www.jaro.com.my
1 ulasan:
mana nak dapat buku persatuan sejarah hulu selangor tu?
Catat Ulasan