Rabu, 25 Ogos 2010

Melayu Rao kaya petua tradisional

Melayu Rao kaya petua tradisional
Oleh Mohd Azis Ngah


2010/08/11- Bharian
Siri empat

BIARPUN hidup dalam serba moden termasuk menikmati kemudahan perubatan terkini, masih ada dalam kalangan masyarakat Melayu Rawa (Rao) yang terikat atau banyak mengamalkan petua tradisional nenek moyang sehingga ke hari ini.

Kebanyakan perubatan dan petua tradisional itu berasaskan sumber alam semula jadi, terutama tumbuhan untuk dijadikan ubat dan amalan berkenaan diterima pakai sehingga kini oleh generasi pertengahan dan baru.

Satu daripadanya ialah penawar sakit kepala atau demam yang digelar Semparan dengan menggunakan kunyit atau halia dan bawang untuk mengesan jika wujud sebarang petanda keteguran.

Sebagai contoh, sepotong kunyit dibelah dua diletakkan di atas belakang tangan dalam keadaan tertangkup sebelum dilambung dan dibiarkan jatuh ke lantai. Seolah-olah bermain buah guli, cuma kunyit kecil itu tidak disambut dan dibiarkan jatuh.

Ketika ini dibacakan doa tertentu dan jika satu atau kedua-duanya kunyit itu jatuh dalam keadaan tertangkup, ia bermakna terkena keteguran dan mesti dirawat.

Individu yang melakukannya mesti mengambil kunyit tertangkup itu dan mencium di mulut dan hidung serta menyapu ke dahi, dada, hati, pusat, belakang badan diikuti lengan kanan dan kiri hingga ke jati telunjuk.

Sharipah Azizah Raja Sorah, 75, berkata rawatan itu mesti disusuli tindakan sama dengan menyapu pada kedua-dua lutut disudahi kaki kanan dan kaki kiri.
“Selepas habis pusingan pertama, kena ulang lagi sehingga beberapa kali sehingga jika kedua-dua belah potongan kunyit itu jatuh dalam keadaan terlentang. Itu maknanya sudah tidak keteguran,” katanya yang mewarisi amalan itu daripada arwah neneknya, Kaimah Daud.

Katanya, mereka percaya pesakit terkena teguran makhluk halus, roh orang mati atau akibat hujan panas, jadi amalan itu bertujuan membuang benda yang tidak baik di dalam badan pesakit.

Bagaimanapun, rawatan itu mesti dikenakan pengeras yang ditetapkan, iaitu bayaran yang berakhir dengan nilai suku. Misalnya duit sebanyak RM1.25 atau RM10.25 dan 25 sen itu bermaksud suku daripada nilai seringgit.

“Jumlah pengeras tidak boleh lebih atau tak boleh kurang daripada nilai suku di belakangnya, tetapi berapa nilai yang hendak dibayar bergantung kepada pemberi,” katanya.

Satu lagi amalan ialah teknik membuang angin dalam badan dengan menggunakan ibu jari tangan yang disentuh pada lelangit dan kemudian dijampi dengan bacaan tertentu lalu ditekan pada pusat pesakit diikuti jampi seterusnya. Teknik itu mesti dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Bagi yang menghadapi masalah anak kecil sering muntah, mereka kerap menggunakan tangkal muntah daripada tali kasut yang sudah digunakan.

Seutas tali kasut akan disimpul tiga kali dan diletakkan di tapak tangan untuk dijampi lalu dikalungkan pada leher kanak-kanak berkenaan. Kalung itu mesti dipakai selama tiga hari berturut-turut dan apabila penyakit muntah itu sudah pulih, kalung berkenaan dibuang.

“Jampi itu boleh dibuat melalui telefon, jika pesakitnya berada jauh, saya sendiri boleh buatkan dari sini, tetapi mesti letakkan tali kasut itu di tepi telefon untuk dijampi. Semua jampi itu menggunakan ayat al-Quran dan kita cuma berusaha dengan izin Allah,” katanya.

Sementara itu, wakil generasi pertengahan masyarakat Rao, Normah Mohd Nasir, generasinya juga masih mengamalkan tradisi sama dan turut meluahkan kebimbangan ia pupus jika tidak diwarisi dan diamalkan.

Antara amalannya ialah menggunakan buah terung Belanda yang dikenali sebagai pokok Limbang atau terung liar sebagai ubat beguk akibat bengkak di leher. Kebiasaannya ia dipadankan dengan amalan masyarakat Melayu menggunakan nila cair yang disapu pada tempat bengkak.

Buah terung bulat itu sebesar jari kelingking orang dewasa akan dicucuk dengan benang untuk dijadikan rantai dan akan dikalungkan ke leher pesakit sehinggalah buah itu menjadi kecut yang menandakan penyakitnya sudah sembuh.

Penggunaannya bertujuan mengurangkan suhu badan panas pesakit kerana buah terung itu diakui antara buahan yang dikategorikan sebagai makanan sejuk, bahkan boleh dijadikan ulam dan sesuai untuk merawat usus.

“Semua tumbuhan ini boleh ditemui di kebanyakan tempat, terutama di sekitar Gopeng. Cuma terpulang kepada kita nak gunakan khasiatnya atau tidak. Kami masih amalkan kerana ia terbukti berkesan,” katanya.

Katanya, daun Malai Alam pula banyak digunakan bagi merawat luka kecil berdarah dengan menggosok daun sehingga lembik dan menyapu pada tempat luka. Pesakit yang menggunakannya akan terasa pedih bila disapu pada luka, tetapi sangat berkesan menghentikan pendarahan kecil.

1 ulasan:

Hashim Zabidi berkata...

Orang kampung kas gelar 'temas kunyit' Masa hayat wan kas dulu, dia terorlah menemas nih...

Le nih orang pakai stetoskop.