Khamis, 14 April 2011

RIWAYAT KETURUNAN TUN HJ. MUSTAPHA BIN RAJA KAMALA PENGHULU PERTAMA YANG MENGASAS TG. MALIM ATAU BERNAM

RIWAYAT KETURUNAN TUN HJ. MUSTAPHA BIN RAJA KAMALA PENGHULU PERTAMA YANG MENGASAS TG. MALIM ATAU BERNAM

Tanjung Jambu 1790 - Kg Kubu 1870 - Tanjung Malim 1876
Tanjong Malim,asalnya bernama Tanjong Jambu, diterokai dan dibuka oleh sekumpulan enam orang pahlawan Bugis.
Ketua Tanjung Jambu dari tahun 1790 - 1870, bergelar menteri :
• Dato’ Menteri Jamilin
• Dato’ Menteri Katib b Dato’ Menteri Jamilin
• Dato’ Menteri Doba Dato’ Menteri Katib
• Dato’ Menteri Amin b Dato’ Menteri Doba
• Dato’ Menteri Mat Taya b Dato’ Menteri Amin

Tun Hj. Mustapha b. Raja Kamala atau dipanggil Penghulu Tua adalah salah seorang ketua kaum Rao di Gali, Raub berhijrah ke Tg. Malim sekitar tahun 1870-1871. Ini adalah ekoran daripada perang saudara berlaku di Pahang semasa perebutan takhta Negeri Pahang antara dua anak Bendahara iaitu Wan Mutahir dan Wan Ahmad pada masa itu.
Beliau adalah pengikut Tok Gajah@Imam Perang Rasu. Diriwayatkan, memandangkan Rao sama Rao berbalah, beliau memohon keampunan daripada Bendahara Wan Ahmad mewakili orang Rao yang berada di Gali, Raub. Tun Hj. Mustapha berasa malu terhadap Tok Gajah dan beliau serta suku sakatnya dengan beberapa panglima yang setia berhijrah ke Bernam atau Tg, Malim.
Adalah diketahui Hj. Mustapha itu bergelar ‘TUN’ yang diberikan oleh Sultan Pahang semasa beliau berada di Pahang. Ini diriwayatkan oleh cicitnya Allahyarham Ahmad bin Yusof. Dato’ Hj. Mustapha juga dipanggil Penghulu Tua Tg. Malim kerana beliau yang tertua dalam kaum kerabatnya.
Diriwayatkan juga beliau menyuruh anak buahnya Panglima Kanan mengambil adik sepupunya seorang sahaja yang masih ada di Nagari Kota Raja, Rao iaitu Hjh. Rahmah Bt. Hj. Siun untuk dibawa ke Bernam atau Tg. Malim. Panglirna Kanan berkahwin dengan Hjh. Rahmah. OIeh kerana Panglirna Kanan telah berkahwin dengan orang yang berasal dari Kg. Simpang Empat Tg. Malim, Hjh. Rahmah membuat keputusan untuk tidak mahu dimadukan. Pergolakkan keluarga bermula. Panglima Kanan pun menceraikan isteri tuanya yang tiada mempunyai zuriat bersamanya. Bermakna adalah Dato’ Haji Mustapha sepupu dengan Hj. Abas b Hj. Siun dan Hjh. Rahmah bt Hj. Siun, ertinya isteri Hj Siun adik beradik dengan isteri Raja Kamala.
Oleh yang demikian, Tun Hj. Mustapha memerintahkan supaya Panglima Kanan berhijrah ke seberang Sungai Bernam dimana Panglima Kanan membuka Kalumpang pada tahun 1883 atau sebelumnya. Nama Kalumpang ini diambil sempena nama sebatang pokok yang bernama pokok Kelumpang dan di kawasan itulah Panglima Kanan mendirikan rurnahnya, masjid dan lain-lain dengan pengikutnya.Tempat itulah pekan Kalumpang sekarang.
Pada masa itu juga Bernam atau Tg. Malim adalah di bawah pemerintahan Selangor. Tun Hj. Mustapha dilantik sebagai Penghulu Bernam atau Tg. Malim yang pertama dan Panglima Kanan pula dilantik menjadi assistant Penghulu Bernam.Kalumpang pada masa itu adalah di bawah jajahan Tg. Malim. Di sinilah kaitan Tg. Malim dan Kalumpang pada zaman tersebut.
Apabila sempadan negeri Perak dan Selangor ditetapkan mengikut sungai, Tg. Malim jatuh dalam pemerintahan negeri Perak dan Kalumpang pula berada di bawah pemerintahan Selangor sehingglah kini. Untuk mengingati atau mengenang jasa Tun HjMustapha, kerajaan Perak sudi dan bersetuju atas permintaan kaum kerabatnya menamakan jalan di kawasan Kg. Kubu itu laitu berhampiran kawasan stesen bas lama Tg. Malim, dinamakan Jalan Hj. Mustapha Bin Raja Kamala yang ada pada hari ini.
Adalah dimaklumkan makam Allahyarham Tun Hj. Mustapha adalah berhampiran dengan makam Tuan Sheikh Ismail Naqsyabandy Ar-Rawi di perkuburan CABANG, Tg. Malim. Adalah dimaklumkan juga ada suatu ketika dikhabarkan oleh penduduk Tg. Malim dan Kalumpang, Almarhum Sultan Abu Bakar Pahang pernah menziarahi kuburTun Hj. Mustapha tanpa protokol di mana orang Tg. Malim dan Kalumpang berasa hairan mengapa Baginda ziarah? Jawabnya adalah kerana Tun Hj. Mustapha pernah jadi ketua orang Rao di Gali dan pengikut setia Tok Gajah. Almarhum Sultan Abu Bakar datang ke Tg. Malim untuk menghormati kesetiaan beliau semasa moyangnya Sultan Ahmad Shah pada zaman tersebut.
1876 – 1898
Yang Berusaha lagi Bijaksana Penghulu Tun Haji Mustapha b Raja Kamala yang berasal dari Kota Raja, Rao Mapat Tunggul Sumatra Barat, Penghulu yang pertama Kg Kubu.

5 ulasan:

Harleny Abd Arif berkata...

Salam ziarah...

Sebagai waris keturunan Almarhum Tun Haji Mustafa Raja Kamala, saya ingin berkongsi sejarah asal usul almarhum di ruang ini. Maka, izinkan saya copy & paste semula keterangan saya di laman FB sebelum ini dengan khalayak pembaca (khususnya waris almarhum yang masih tercari-cari asal usul keturunan):

Berdasarkan sumber teks bertulis karangan Zainal Abidin Daud, Hj Mustafa Raja Kamala berhijrah dari Pahang ke Tanjung Malim. Secara peribadinya, saya yakin bahawa waris Hj Mustafa ini masih ada lagi di beberapa mukim/daerah di Pahang (khususnya Raub). Namun, ingin saya maklumkan, rata2 daripada waris Haji Mustafa ini bermastautin di Tanjung Malim (waris teratas daripada generasi kami). Hj Mustafa mempunyai 10 orang anak hasil perkahwinan dengan 3 isterinya iaitu Hjh. Sofiah@Safiah, Sharifah dan Badriah. 10 orang anak almarhum berada di Tanjung Malim pada zaman hidup almarhum.

Saya ingin berkongsi fakta tentang susurgalur sebenar Hj Mustafa. Asal usul sebenar keturunan Hj.Mustafa Raja Kamala ini adalah dari Acheh. Namun, sejarah sering mengaitkan asal usul Haji Mustafa ini berketurunan Rawa dari Kota Raja di Rao, Sumatera Barat. Berdasarkan kajian saya, Kota Raja di Rao adalah lokasi hijrah sementara almarhum dan para pengikutnya ekoran peperangan Acheh dengan pihak Belanda di Acheh. Nama Kota Raja (ejaan Rao: Koto Rajo) mengambil sempena nama Kuta Raja (Benteng Raja) di Acheh.

Berdasarkan kajian ilmiah terdahulu dan kajian peribadi yang dilakukan sehingga kini, almarhum Hj Mustafa Raja Kamala bersusurgalurkan kesultanan Acheh dari Dinasti Bugis (susurgalur Daeng Mansur @ Tuanku Bugis yang makamnya di Pidie, Acheh). Gelaran "Raja Kamala@Keumala" masih digunapakai sehingga ke hari ini oleh waris Daeng Mansur @ Tuanku Bugis baik di Acheh mahupun di Kota Raja, Rao (Rawa) di Sumatera Barat. Ini bermakna, Haji Mustafa ini bukanlah ber"bin Raja Kamala kerana "Raja Kamala@Keumala" adalah gelaran waris almarhum. Salah seorang menantu almarhum iaitu Imamluddin Raja Kamala yang makamnya di Gumut, Kalumpang, Selangor turut memakai gelar yang sama. Gelaran ini diletakkan sesudah nama. Sebagai contoh, Haji Mustafa Raja Kamala bin Raja Yaakop. Keadaan ini berbeza dengan kerabat diRaja di sini yang menggunapakai gelaran sebelum nama.

p/s: Saya boleh dihubungi melalui e mel: harlenz20012yahoo.com

Wassalam =)

arisel ba berkata...

Terima kasih atas tambahan maklumat

Harleny Abd Arif berkata...

Ralat: Emel > harlenz2001@yahoo.com atau no talian 019 6972567

indera sakti berkata...

Saya juga dalam usaha mencari salasialah keturunan saya sebelah ayah yang terdiri daripada 6 adik beradik. Lima orang berhijrah ke semenanjung sementara seoarng tinggal di pagar ruyung atau bukit tinggi. Mereka ini semuanya telah meninggal dunia yang sulong Tan Daik bin Osman, Abdul Rashid bin Osman, Mohd noor Bin Osman, Daud bin Osman, Kahar bin Osman dan Mohd Ali bin Osman. sekiranya ada diantara keturuanan rao yang dapat mengesan susur galur 6 beradik ni harap dapat emailkan kepada saya inderasakti19@gmail.com

Unknown berkata...

Saya di beritahu oleh abang sepupu saya yg kami juga dari jalur Tun Hj. Mustapha Raja Kamala. Jika Hj. Mustapha ada 10 orang anak, ..... ada tak seorang anak nya yg bernama Abdul Samad? Abdul Samad ni moyang saya, ia itu bapa kepada Tok saya yg bernama Sohor. Ayah saya bernama Abd Wahab bin Sohor. Ayah saya lahir di Tg. Malim dan kampung kami di Kg. Kubu di bandar Tg. Malim tu. Apabila ayah saya berumur 8 tahun, dia menjadi yatim piatu dan di bawa bapa saudaranya ke Temoh dan dibesarkan di sana. Jadi kami terasa jauh dari Tg. Malim dan kaum kerabat Rao. Saya Lahir di Temoh dan di besarkan di Ipoh. Namun masih ada lagi sedara2 yg bermastautin di Tg. Malim tapi tak ramai yg kenal.

persoalan nya ....ada tak salah seorang anak Hj. Mustapha ni yg namanya Abd Samad?