Isnin, 12 Ogos 2013


PERKISAHAN SEJARAH RAWA RAUB:
HUBUNG KAIT KETURUNAN RAJA DARI PAGARRUYUNG
DENGAN KESULTANAN PAHANG MODEN

Sebagaimana yang dicatatkan oleh Ayahanda Imam Ishak sebagaimana hubung kait waris keturunan Raja Ahmad ibni Datuk Bendahara Putih Tuan Titah ke-10, Sungai Tarab, Pagarruyung adalah seperti berikut:

Diriwayatkan bahawa Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 yang juga Orang Besar Anggota Dewan Besar Empat Balai Kerajaan Pagarruyung bergelar Tuan Titah Sungai Tarab yang merangkumi Gunung Merapi dan Gunung Singgalang di ranah Minangkabau, Sumatera berasal daripada keturunan Raja Pagarruyung dari jurai keturunan Yamtuan Raja Berkilap Alam @ Yamtuan Raja Gara @ Raja Bagewang 3 @ Datuk Bendahara Putih Ke-7 @ Sultan Alif Khalifatullah Fil Alam 1 telah memperoleh seorang putera sekitar tahun 1683 Masihi dan diberi nama Raja Ahmad.

Tok Prak @ Raja Ahmad berkahwin dengan Tok Mikrah. Apabila siap hutan dipugar, pengikut-pengikut Tok Prak pun membina rumah pisang sesikat, sebahagian di Sengkela, Raub dan sebahagian lagi di Gesing, Raub. Isteri Tok Prak yang bernama Nuriah itu memilih untuk membina rumah dan menetap di Gesing, Raub bersama anak-anaknya.
           
Di sini jugalah sekitar tahun 1756 Masihi, Tok Prak yang berusia 73 tahun beroleh isterinya yang kedua bernama Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap, Budu,  yang juga masih berketurunan Datuk Kaya Ibrahim Terap, Budu, Lipis. Jurai keturunan Tok Mikrah ini ialah Tok Mikrah anak Tok Kaya Busu anak Tok Kaya Chandak anak Tok Kaya Ibrahim yang bernikah dengan Tok Di Padang anak Hang Semaun anak Hang Tuah. Bermula dari sinilah terjalinnya ikatan kekerabatan yang amat dekat lagi meluas dalam kalangan penduduk Hulu Pahang yang bertebaran di semua mukim dan kampung-kampung dalam daerah Raub dan Lipis bahkan merebak hingga ke Jerantut dan Temerloh melalui ikatan perkahwinan generasi terkemudian.
           
Daripada perkahwinan ini Raja Ahmad @ Tok Prak beroleh tiga orang anak iaitu Pandak Lena,  Fatimah dan Kulop Mat Daham.

Tok Pandak Lena berkahwin dengan seorang perempuan, orang Temau mendapat anak seorang perempuan hanya diketahui panggilannya Tok Ne bernikah dengan Tok Dagang Buyut. Hasil pernikahan itu memperoleh zuriat anak lelaki diberi nama Tok Dagang Busu.

Tok Dagang Busu bernikah dengan Siti Mas atau Tok Timah mendapat anak yang diberi nama Aishah dan membesar di Temau. ( Zaman dahulu Temau itu adalah wilayah Mukim Dong Sekarang).

Aishah adalah anak yang bongsu. Antara adik beradik kepada Aishah ini ialah Maisusah, Hajah Mandaliah yang bernikah dengan Panglima Perang Yusuf, Minyah, Habsah, dan Chapah.

Aishah telah berkahwin dengan DYMM Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah ( Sultan Ahmad 1 ) dan mendapat zuriat yang diberi nama YM Tengku Abdul Hamid ibni Sultan Abdullah.

YM Tengku Abdul Hamid bernikah dengan Che Puan Hasnah binti Abdullah dan mendapat zuriat yang ramai iaitu Tengku Azman, Tengku Kamaruddin, Tengku Nur, Tengku Ainun, Tengku Rohana, Tengku Rusmina, Tengku Roslin, Tengku Ruslan, Tengku Rozita. Tengku Rohanum, Tengku Rosli, Tengku Rosida dan Tengku Rosdan.

Saya sedang menjejak anak-anak YM Tengku Abdul Hamid ini berkahwin dengan siapa dan nama isteri/suami serta anak-anak mereka. Sesiapa yang tahu jurai keluarga besar ini boleh inbox dalam fesbuk saya.

Saya mohon ampun maaf jika ada kesilapan nama dalam perkisahan ini. Ini jelas perkaitan warisan Kesultanan Pahang Moden dengan waris keturunan Raja Ahmad @ Tok Prak dari Sungai Tarab, Pagarruyung.

Sekian, terima kasih.




Tiada ulasan: